KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan diperkukuh melalui penstrukturan organisasi dan peningkatan keupayaan operasi, termasuk aspek pencegahan awal, pengumpulan data risiko serta penyelarasan pasca bencana.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sebanyak RM460 juta diperuntukkan bagi memperkukuh kesiapsiagaan agensi berkenaan.
“Sebagai langkah pencegahan banjir jangka panjang, kerajaan memperuntukkan RM2.2 bilion bagi meneruskan 43 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berkeutamaan tinggi, termasuk 12 projek baharu yang akan dimulakan tahun hadapan,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan turut menyediakan RM380 juta untuk kerja pengawalan hakisan pantai di Pantai Rusila (Terengganu), Pantai Leman (Kedah) dan Pantai Teluk Kemang (Negeri Sembilan).
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerima peruntukan RM12.4 bilion bagi tahun depan, meningkat 3.69 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Tiga agensi utama luar bandar; FELDA, RISDA dan FELCRA turut menerima hampir RM2.4 bilion bagi melindungi lebih 720,000 peneroka, pekebun kecil serta keluarga mereka.