fb fb fb fb fb

N. Sembilan peruntuk RM5.5 juta, selenggara SAR, SABK

Foto hiasan

JEMPOL, 17 Disember- Kerajaan Negeri Sembilan telah memperuntukan sebanyak RM5.5 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di 56 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan 16 buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di seluruh negeri itu bagi tempoh 2020-2024.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata, ia termasuk Sekolah Menengah Agama (SMA) Ulu Jempol yang merupakan salah sebuah sekolah yang menerima peruntukan tersebut.

"Pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf blok bangunan kelas Sekolah Menengah Agama (SMA) Ulu Jempol ini adalah untuk menggantikan serta membaik pulih bangunan akademik yang mengalami kerosakan.

"Ia melibatkan struktur kayu pada tiang, rasuk, kekuda bumbung dan dinding kayu telah reput disebabkan serangan anai-anai dan tidak dapat menampung beban keseluruhan bumbung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap demikian pada Majlis Penyerahan Projek Siap Kerja-Kerja Menaiktaraf Kemudahan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan di Sekolah Menengah Agama Ulu Jempol di sini.

Kerajaan Negeri juga menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan sedang membelanjakan sebanyak RM13.1 juta untuk kerja-kerja membina blok akademik, asrama dan dewan makan baharu untuk Sekolah Tinggi Agama Malaysia (STAM) Maahad Ahmadi, Gemencheh. 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI