fb fb fb fb fb

MYWOOD entiti kepada pemain industri luas jaringan pasaran filem

Datuk Kamil Othman

KUALA LUMPUR, 15 Februari- Penubuhan Koperasi MYWOOD Industri Filem Malaysia Berhad (MYWOOD) dilihat boleh menjadi entiti perantara kepada FINAS dan pemain industri perfileman negara dalam usaha meluaskan jaringan pasaran filem tempatan ke luar negara.

MYWOOD mewakili simbol baharu perniagaan hiburan di Malaysia serta mewujudkan rangkaian antarabangsa pengedaran kandungan Malaysia dalam bahasa Melayu, Tamil dan Cina di seluruh dunia.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman berkata, perkara itu dapat memberi transisi baru dalam corak pemikiran pembikin filem serta kandungan tempatan.

Pada masa sama, ia juga dilihat sebagai platform untuk mengeksport serta mengedarkan semua kandungan buatan Malaysia termasuk rancangan televisyen, muzik dan filem berbahasa Melayu yang dialih bahasa, ke peringkat antarabangsa.

"Saya rasa ini satu peluang yang baik, kerana kita ada persatuan yang banyak. Mungkin juga ada pembikin-pembikin filem lain ingin melihat dalam aspek perniagaan.

"Apabila orang buat filem, ia termasuk dengan memikirkan pemasaran. Jadi perkara ini tidak akan menenggelamkan filem yang dibuat daripada pawagam. Ini mungkin peluang untuk kita berbincang dengan rangkaian yang dimiliki FINAS di seluruh dunia," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Koperasi MYWOOD Industri Filem Malaysia Berhad (MYWOOD) di FINAS.

Dalam pada itu, Pengasas MYWOOD, S.Surendran berkata ia diilhamkan selepas melihat kegagalan ramai penerbit filem dan kandungan tempatan beberapa tahun kebelakangan ini.

Sehubungan itu, penubuhannya berorientasikan matlamat untuk mewujudkan peluang baru kepada komuniti pembikin filem tempatan, meluaskan pasaran produksi masing-masing dengan pendekatan yang lebih global dan berorientasikan perniagaan.

"Jadi saya munculkan idea ini untuk eksport filem tempatan, kerana pasaran kita terhad. Jadi ini merupakan perkara ini akan mewujudkan peluang baru dalam industri seni selain mewujudkan persaingan dengan negara yang lebih maju.

"Jadi industri filem dilihat ketinggala sementara industri lain meriah sebab ia adalah berkenaan profesionalisme. Jadi MYWOOD ialah berkenaan perniagaan untuk mereka yang terlibat dalam industri seni," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI