fb fb fb fb fb

MySaveFood@Ramadan 2024: 60,650 kg makanan, minuman diselamatkan

Gambar fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 April - Sebanyak 60,650 kilogram (kg) bersamaan 60.65 tan makanan dan minuman bernilai RM724,770 berjaya diselamatkan dari 139 bazar Ramadan pada Program MySaveFood @ Ramadan 2024, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Fuziah Salleh berkata, program selama 26 hari itu berjaya dilaksanakan di 139 bazar Ramadan sekali gus dapat menghalang 113,763kg pelepasan gas rumah hijau.

"Jumlah ini menghampiri 10 peratus daripada keseluruhan bazar Ramadan yang telah beroperasi.

“Ini membuktikan pelaksanaan program ini memberi kesan positif berpanjangan terhadap pengurangan pembaziran makanan dan minuman serta pelepasan gas rumah hijau dapat dihalang turut meningkat sekiranya dilaksanakan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi tahun lalu, sebanyak 25,000kg makanan dan minuman bernilai RM300,000 diselamatkan di 55 bazar Ramadan yang terlibat melalui program sama.

MySaveFood @ Ramadan 2024 merupakan sistem pengurusan berstrategi melalui usaha menyelamatkan lebihan makanan dan minuman.

"Ia sebagai usaha menyelamatkan lebihan makanan dan minuman yang masih berkeadaan baik serta tidak terjual di bazar Ramadan," katanya.

Ia kemudiannya diagihkan kepada pelajar, rumah kebajikan, golongan gelandangan dan mereka yang memerlukan.

Program MySaveFood @ Ramadan 2024 melibatkan seramai 2,112 sukarelawan termasuk Gerakan Pengguna Siswa (GPS) berbanding 500 orang pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, satu ekosistem pengurusan lebihan makanan sedang dirangka untuk memperkasa pelaksanaan program berkenaan pada tahun hadapan.

Selain menyelamatkan makanan yang masih elok, ujarnya, sisa makanan yang terbuang turut mampu diuruskan secara sistematik untuk menjadi baja kompos yang menyumbang kepada manfaat lebih besar.

GRACE AISYAH KEDAYAN