fb fb fb fb fb

MySaveFood bakal diperluas ke pasar malam selepas Aidilfitri

Fuziah Salleh

KUCHING, 22 Mac- Kempen MySaveFood bakal diperluas ke pasar malam selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri berikutan kejayaan penganjurannya di bazar Ramadan.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh yakin kempen tersebut akan mendatangkan manfaat kepada lebih banyak golongan memerlukan.

"Pasar malam pun banyak kita membazir, di pasar malam yang tidak habis dijual, kalau kita kembang luas akan bawa lebih manfaat kpd golongan memerlukan," katanya selepas melancarkan MySaveFood bersempena Bazar Ramadan Rahmah Wilayah Sarawak di Bazar Ramadan Metrocity Matang di sini.

Bagaimanapun perbincangan mengenai perkara tersebut telah diadakan dengan persatuan peniaga di pasar malam Metrocity Kuching dan pasar malam tersebut bakal menjadi projek pertama untuk kempen itu di Malaysia.

Fuziah turut memaklumkan lebih 14 tan makanan dan minuman selain 15,000 kilogram Pelepasan Gas Hijau diselamatkan menerusi kempen MySaveFood semalam di seluruh negara.

Dalam pada itu, orang ramai yang menghadapi masalah bekalan minyak masak paket diminta untuk membuat aduan kepada KPDN bagi tindakan segera.

Masalah kekurangan minyak masak tersebut menurut beliau adalah berikutan permintaan yang sangat tinggi dengan kuota dikekalkan pada 60,000 metrik tan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI