KANGAR, 17 Disember- Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menyediakan sebanyak 90 MyKiosk kepada peniaga kecil dalam usaha mengubah landskap perniagaan ke arah lebih bersistematik.
Penyediaan kios berkenaan menerusi peruntukan sebanyak RM2.1 juta yang disalurkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar, Affendi Rajini Khan berkata, fasa pertama melibatkan 30 unit dengan nilai RM600,000 telah mula beroperasi di parlimen Arau, Kangar dan Padang Besar.
"Manakala bagi fasa kedua sebanyak 30 unit telah siap dipasang dan kini dalam proses temu duga peniaga yang layak dan jenis perniagaan yang akan diusahakan.
"Fasa ketiga dijangka siap sepenuhnya menjelang 31 Disember ini serta dijangka dapat beroperasi menjelang Februari 2025," katanya kepada pemberita di sini.
Penyediaan kios berkenaan selaras dengan usaha meningkatkan tahap kebersihan dan standard penyediaan serta perkhidmatan makanan oleh peniaga selain mengenakan kadar sewaan pada RM300 sebulan.
Antara lokasi tumpuan kios ialah di Dataran Niaga Taman Sena Indah dan Tapak Berhampiran Pasar Lama Kangar.