PETALING JAYA, 18 Januari- Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menyasarkan 5,000 pemilik harta intelek (IP) menyertai Portal IPR Marketplace 2.0 bagi tempoh empat bulan pertama.
Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Ts Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata Platform e-dagang yang dilengkapi fungsi baharu itu memudahkan akses bagi pemilik IP terutama sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana, untuk memasarkan idea.
Portal yang ditambah baik itu bagi menggalakkan kolaborasi antara pemilik IP, pemain industri, pelabur dan penilai IP tempatan.
"Sebelum ini tidak ada satu tempat yang khas untuk mereka ini mencari, di mana untuk melihat IP yang mereka boleh miliki sebab kita memang ada sebelum ini iaitu 'IP to you online' daripada aplikasi IP to you online mereka hanya boleh melihat sesuatu IP itu telah didaftarkan atau pun membuat perbandingan sama ada IP yang mereka hendak daftar itu telah mendaftar atau pun belum. Tetapi dalam platform 'IPR Marketplace' ini tidak wajib, bila mereka yang telah berdaftar terus masuk di dalam Marketplace, mereka ini diberi ruang atau untuk mereka mendaftarkan sendiri", katanya dalam Majlis Peluncuran Portal IPR Marketplace di Petaling Jaya.
Beliau turut optimis platform e-dagang harta intelek itu boleh dipasarkan ke peringkat global.