
KUALA LUMPUR, 26 Januari – Kementerian Digital sedang membangunkan Indeks Keterangkuman Digital Malaysia (MyIKD) sebagai mekanisme penting bagi mengukur keberkesanan pelaksanaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), sekali gus memastikan masyarakat tidak terpinggir dalam arus pendigitalan negara.
- MyIKD dibangunkan untuk mengukur keberkesanan pelaksanaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan.
- Indeks menilai kebolehcapaian, kemampuan kos, keupayaan, kerelevanan, serta kesiapsiagaan dan penerimagunaan.
- Objektif memastikan teknologi dapat diakses, difahami dan digunakan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengasingkan sesiapa.
- Kerajaan akan menggunakan MyIKD untuk menilai dasar setiap tahun dan membuat penambahbaikan berterusan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata MyIKD diwujudkan di bawah teras lima rangka tindakan ekonomi digital dengan matlamat membangunkan masyarakat digital yang inklusif serta memperkukuh ekosistem digital negara.
“Kita memerlukan satu sistem atau mekanisme untuk mengira dan mengukur tahap kejayaan pelaksanaan teknologi baharu. Itulah tujuan MyIKD diwujudkan. Antara aspek utama yang dinilai ialah kebolehcapaian, bagi memastikan masyarakat dapat mengakses teknologi baharu supaya tidak terpinggir serta memahami dan menggunakannya.
Selain itu, aspek kemampuan kos turut diberi perhatian kerana kita tidak mahu wujud keadaan teknologi baharu tersedia, tetapi dianggap terlalu mahal oleh masyarakat, ujarnya lagi.”
Gobind menjelaskan indeks itu menilai lima aspek utama iaitu kebolehcapaian, kemampuan kos, keupayaan, kerelevanan serta tahap kesediaan dan penerimagunaan.
Menurutnya, pendekatan menyeluruh itu penting bagi memastikan teknologi bukan sahaja dibawa masuk ke negara ini, malah benar-benar memberi manfaat kepada kehidupan rakyat, ekonomi dan pentadbiran kerajaan.
Tambah beliau, MyIKD turut membolehkan kerajaan menilai secara tahunan keberkesanan dasar yang dilaksanakan serta melakukan penambahbaikan berterusan supaya impak teknologi dapat dirasai semua lapisan masyarakat, seiring aspirasi negara ke arah AI2030.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam sesi sama, Syerleena turut mengucapkan tahniah kepada Gobind Singh Deo susulan pengiktirafan Platform Global yang menyenaraikan beliau antara 100 Pemimpin AI Kerajaan Terbaik Dunia pada pertemuan di Davos-Klosters, Switzerland, baru-baru ini.