PUTRAJAYA, 11 Jun- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mahu Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC) diminta merekodkan jumlah soalan dan maklum balas berhubung subsidi diesel.
Dapatan perkara itu kemudian akan dibentangkan ke mesyuarat kabinet dalam masa terdekat.
"Saya minta bantuan MyGCC, kita ada talian 03- 8000 8000. Sekiranya ada pertanyaan tentang subsidi diesel, ia dapat dijawab dengan tuntas, baik dan ringkas.
"Ia juga bagi merekodkan data dan panggilan tentang jumlah soalan diterima. Perkara berkenaan akan dikumpulkan dan dibentang dalam mesyuarat kabinet minggu ini atau dalam masa terdekat. Kita dapatkan maklumat dan dapatan mengenai pandangan umum dan persoalan lazim yang dibangkitkan," katanya dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini.