KUALA LUMPUR, 18 Disember- Pelaksanaan MyDigital ID adalah bagi memudahkan urusan secara dalam talian di pelbagai platform digital; dengan tahap keselamatan yang lebih tinggi dan terjamin; seiring matlamat menyemarakkan ekonomi digital di negara ini.
Penggunaanya bukan menggantikan penggunaan kad pengenalan diri fizikal, MyKad dalam semua urusan.
Perkara itu dijelaskan Pegawai Tugas-Tugas Khas Di Pejabat Menteri Dalam Negeri, Dr. Azman Hussin dalam rancangan Bicara Naratif yang bersiaran secara langsung menerusi TV1.
"Secara umum, ia adalah satu bentuk sijil digital, dan kemudian kita sijil itu dilengkapi beberapa lapisan keselamatan, dengan menggunakan beberapa 'Foot-o-graphy' punya algoritma, dan diolahkan semua dalam bentuk aplikasi tersedia dalam telefon bimbit. Ia memudahkan untuk digunapakai sama ada menggunakan aplikasi telefon bimbit atau menerusi web.
"Dengan adanya lapisan keselamatan ianya sukar untuk digodam dan identiti digital boleh mengesahkan maklumat kita," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Bicara Naratif di Wisma Berita, Angkasapuri Kota Media.
Bagaimanapun Azman berpendapat penggunaan MyKad sedia ada mesti dikekalkan memandangkan ia terikat dengan akta-akta tertentu serta memberi banyak manfaat kepada rakyat Malaysia.
Sementara itu dalam program sama Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Berhad, Dr. Saat Shukri Embong berkata, pengenalan diri berbentuk digital itu pada asasnya tidak melibatkan pengkalan data kerajaan yang dilindungi sistem serta akta-akta sedia ada.
Ia hanya menyimpan data mengandungi nama penuh, nombor kad pengenalan dan kod kriptografi sijil digital berkenaan.
"Apa yang dilakukan oleh MyDigital ID ialah membuktikan pengguna yang berdaftar itu adalah orang sama seperti dalam kad pengenalan yang telah disahkan pengkalan data kerajaan.
"Selepas sijil ini dikeluarkan, pihak pelaksana seperti MIMOS, tidak menyimpan data-data atau sijil tersebut. Ia disebabkan data itu masih disimpan di JPN, imigresen dan sebagainya," katanya.