fb fb fb fb fb

MyDigital ID: Kerajaan guna algoritma diperakui elak kecurian data

Menteri Digital, Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR, 12 Julai- Pengoperasian sistem Identiti Digital Nasional atau MyDigital ID mengguna algoritma yang diperakui dan diiktiraf kerajaan bagi mengelak kecurian dan ketirisan data pengguna.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata ia langkah yang diambil kerajaan dalam memperkukuhkan lagi sistem keselamatan yang ada pada MyDigital ID.

Jelasnya, kerajaan juga memperketatkan undang-undang sedia ada sebagai langkah mengawal aspek kecurian dan ketirisan data.

"Saya faham dan setuju aspek data ini perlu kita lihat dengan serius. Berkaitan dengan model digunakan bagi membangunkan identiti digital, ia tidak menyimpan data peribadi pengguna dan ini adalah strategi utama kepada jaminan keselamatan.

"Setiap pergerakan data pengguna dalam operasi MyDigital ID adalah dalam bentuk one way hash yang menggunakan algoritma SHA-256 yang tidak boleh dibaca sama sekali. Algortima ini adalah diperakui, diiktiraf dan termasuk dalam senarai algoritma kriptografi terpercaya negara atau MySEAL," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dikemukakan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang mahu penjelasan mengenai strategi dan jaminan keselamatan oleh kerajaan agar tidak berlaku sebarang kes kecurian data identiti digital.

Gobind berkata setakat semalam, sebanyak 465,924 pengguna termasuk penjawat awam mendaftar sistem terbabit.

Katanya, bagi menggalakkan pendaftaran dalam kalangan penjawat awam, kios-kios pendaftaran MyDigital ID telah ditempatkan di 199 cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan lima cawangan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) seluruh negeri di Malaysia.

Di samping itu, ujarnya pihak MIMOs Berhad akan menyebarluas pelaksanaan MyDigital ID kepada pelbagai demografi rakyat Malaysia di bandar serta di luar bandar secara berfasa.

ZEHRA BINTI ZAMBRI