fb fb fb fb fb

MyCC sudah siapkan laporan kartel, monopoli padi dan beras

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 November-Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sudah menyiapkan laporan lengkap mengenai  monopoli , kartel padi dan beras negara.

Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh

Jelas beliau, laporan tersebut masih diperincikan dan tidak boleh didedahkan kepada umum sehingga laporan rasmi diterima

"Tapi sudah diselesaikan berkenaan padi dan beras kemungkinan penyalahgunaan kedudukan dominan mana-mana syarikat yang mengawal berkaitan benih import dan sebagainya", katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang ingin tahu sejauh mana kerajaan mengambil tindakan ke atas kartel dan aktiviti monopoli yang didakwa mempengaruhi harga jualan bahan mentah dan makanan semasa.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan para peniaga yang mempunyai Kad Khas Diskaun Rahmah boleh menggunakan akses tersebut untuk membeli keperluan mereka di Jualan Rahmah.

Jelas beliau, ia sekali gus sebagai penyelesaian kepada pengguna kad diskaun yang tidak dapat membeli barang mentah di pasaraya yang menggunakan sistem pembelian berbeza-beza.

"Maka kita sudahpun mengatasi masalah tersebut dengan menawarkan kad Diskaun Menu rahmah ini  kepada operator Menu Rahmah untuk mereka membeli di Jualan Rahmah.

"Mereka boleh pergi ke Jualan Rahmah dan akan diberi kelonggaran kepada pemegang kad untuk membeli barang-barang keperluan serta mendapat diskaun daripada KPDN", katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa  yang ingin tahu perkembangan inisiatif Menu Rahmah yang semakin 'hambar' dengan ramai peniaga didakwa tidak berminat meneruskannya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD