fb fb fb fb fb

My50 diteruskan, tingkat penggunaan pengangkutan awam, elak kesesakan - Prasarana

Foto/Arkib Bernama

KUALA LUMPUR, 18 Oktober -Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yakin langkah meneruskan pemberian inisiatif My50, menerusi Belanjawan 2025 dapat mempertingkatkan penggunaan pengangkutan awam sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di Lembah Klang.

Prasarana selaku pengendali perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel, serta perkhidmatan bas di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan dalam kenyataan menyebut, pelbagai inisiatif yang dibentangkan dalam belanjawan 2025 mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam mentransformasi sistem pengangkutan awam negara seterusnya mencapai sasaran nisbah peratusan penggunaan (modal share) pengangkutan awam sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2030.

Dalam Belanjawan 2025, kerajaan meneruskan peruntukan bagi inisiatif pas bulanan My50 untuk pengguna pengangkutan awam yang akan memberi manfaat kepada hampir 180,000 pengguna.

My50 merupakan sebuah pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan untuk penggunaan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana.

Selaras langkah sama, kenyataan itu menyebut perkhidmatan bas bawah kendalian Prasarana juga akan diperkasakan, dengan perolehan 250 bas elektrik yang akan diterima secara berperingkat mulai tahun hadapan.

“Inisiatif penggunaan bas elektrik adalah langkah menyokong pelepasan karbon sifar bersih selain meningkatkan kesalinghubungan batuan pertama dan terakhir (First Mile Last Mile),” menurut kenyataan itu.

Belanjawan 2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini turut memperuntukkan RM10 juta untuk meningkatkan capaian perkhidmatan bas dan pengalaman penumpang dengan penambahan lorong bas khas di Jalan Ipoh, Jalan Cheras dan Jalan Gombak sepanjang 47 kilometer.

“Perluasan inisiatif ini adalah hasil kejayaan pelaksanaan lorong bas sedia ada di Korridor Jalan Ampang, Jalan Genting Klang dan Jalan Klang Lama yang mencatatkan purata pertambahan jumlah penumpang sebanyak 20 peratus dan purata penjimatan masa perjalanan sehingga 10 minit,” menurut kenyataan sama.

Selain itu, Prasarana juga akan menyediakan kemudahan van untuk anak-anak ke sekolah dari stesen tren terpilih dengan bayaran RM0.50 sen sehala. Sebagai permulaan, stesen yang terlibat ialah di LRT Sri Rampai dan LRT Taman Melati.

Prasarana juga menyambut baik langkah kerajaan untuk menambah baik 100 hentian bas di Lembah Klang dengan penglibatan beberapa agensi kerajaan dan swasta demi memberi keselesaan dan kemudahan kepada pengguna.

“Kami komited untuk melaksanakan inisiatif berkaitan yang dibentangkan dalam belanjawan pada hari ini demi memastikan agenda kerajaan dapat dicapai serta memberi manfaat yang maksimum kepada rakyat,”

MAT YUNUS BIN SABRI