BANDA HILIR, 8 Januari- Kewujudan Muzium Wangkang di Melaka diyakini memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan di negeri itu.
Pengarah Perayaan Wangkang yang juga Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, Datuk Ronald Gan berkata, Muzium tersebut telah diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2021.
Menurut Gan, Wangkang adalah warisan kebudayaan yang memiliki elemen membina budaya positif untuk kesejahteraan, keselamatan dan keharmonian sejagat.
"Jadi kita merasakan tradisi dan kebudayaan Baba Nyonya juga akan dibawa balik ke negara China dalam kadar yang besar.
"Wangkang ni adalah satu upacara bagi membolehkan semua melakukan kebaikan dan saya minta, kalau boleh semua yang datang menyaksikan secara tak langsung juga melakukan kebaikan dan sama- sama kita saksikan perarakan besar upacara Wangkang pada 11 Januari ini", kata Gan demikian selepas ditemui pada perasmian Muzium Wangkang oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di sini.
Perayaan Wangkang berasal dari China dan dibawa ke Melaka semasa Dinasti Ching antara 1644 dan 1911.
Setakat ini perayaan itu dibuat sebanyak enam kali iaitu pada 1919,1933, 2001,2012, 2017 dan 2020.