KUALA PILAH, 23 Januari- Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNZ), terus komited dalam usaha memperkasa Adat Perpatih menerusi Program Silang Budaya antara Malaysia dengan negara luar khususnya negara serantau.
Menurut Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Drs. Shamsuddin Ahmad, usaha itu bagi menonjolkan keunikan Adat Perpatih melalui perkongsian masakan, muzik tradisional, pakaian serta tarian.
"Siapa datang ke Negeri Sembilan kita tonjolkan adat kita, kalau kita ke negeri lain kita tonjolkan adat kita kepada mereka.
"Pengunjung ke sini pun kita tengok adat mereka, jadi kita nampak ada perbezaanadat dan kita saling menghargai. Kita merasakan ada kekuatan adat khususnya Negeri Sembilan ini adat perpatih," katanya kepada pemberita dalam Program Silang Budaya dan Lawatan Bundo Kanduang Sumatera Barat Indonesia di Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti, di sini.
Dalam pada itu, LMNZ akan turut melibatkan pelajar sekolah sekitar negeri ini dalam program silang budaya tersebut agar mereka lebih memahami Adat Perpatih dan adat negara serantau seperti Indonesia.