fb fb fb fb fb

Mustapha teraju PKR Sabah

Datuk Mustapha Sakmud/Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 26 Mei- Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah yang baharu Datuk Mustapha Sakmud menyifatkan lantikan yang diterima sebagai 'taklif' atau tanggungjawab dan bukan 'tashrif' atau keistimewaan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan berkata, perubahan kepimpinan di peringkat negeri menonjolkan nilai parti yang sentiasa membudayakan amalan demokrasi serta mengangkat kearifan tempatan.

"Kini tiba masanya untuk PKR Sabah fokus memperjuang hak rakyat Sabah dalam kerangka gagasan Malaysia MADANI yang selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.

"Saya menyeru pucuk pimpinan parti di seluruh Sabah untuk merapatkan saf perjuangan dan berpadu di bawah pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bagi mengangkat martabat rakyat serta negara yang tercinta," katanya.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil dalam kenyataan mengumumkan pelantikan Mustapha yang menggantikan penyandangnya Datuk Dr Sangkar Rasam.

Sangkar Rasam pula antara yang dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat parti yang baharu.

Sementara itu, Mustapha berkata PKR Sabah akan terus memberi komitmen untuk memastikan kestabilan politik Negeri Di Bawah Bayu sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

Beliau berkata konvensyen khas PKR Sabah dan program pemantapan jentera akan diadakan dalam masa terdekat secara berkala merupakan persediaan menghadapi pilihan raya negeri.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI