Mustapha dilantik Pesuruhjaya Kehormat APM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehormat Angkatan Pertahanan Awam (APM)/ RTM

KUALA LUMPUR, 5 Februari – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud hari ini menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM), Mohammad Abiddin Abd Rahman, di Parlimen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Mustapha menerima watikah dan vest APM sempena pelantikan sebagai Pesuruhjaya Kehormat Angkatan Pertahanan Awam.
  • Beliau mengucap terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri atas kepercayaan melantiknya ke jawatan berkenaan.
  • Komited membantu pengurusan bencana di Sabah dan Sarawak serta memberi sokongan apabila diperlukan di Semenanjung.

Kunjungan tersebut diadakan bersempena Sesi Serahan Watikah Pangkat Pesuruhjaya Kehormat APM kepada Datuk Mustapha yang turut disempurnakan dengan penyerahan vest APM sebagai simbolik pelantikan beliau ke jawatan berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan melantiknya sebagai Pesuruhjaya Kehormat APM.

“Penganugerahan pangkat Pesuruhjaya Kehormat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia merupakan satu tanggungjawab yang mencabar, namun saya komited untuk melaksanakan amanah tersebut, khususnya dalam membantu usaha pengurusan bencana di Sabah dan Sarawak, selain turut memberi perhatian kepada kawasan di Semenanjung apabila diperlukan,” katanya kepada media, hari ini.

Datuk Mustapha sebelum ini pernah dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Kehormat APM semasa menjawat jawatan Timbalan Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi, sekali gus mencerminkan kesinambungan komitmen dan sokongan beliau terhadap peranan serta fungsi APM dalam aspek keselamatan, kesiapsiagaan bencana dan kebajikan rakyat.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan