JOHOR BAHRU, 20 Jun- Seorang murid prasekolah lima tahun maut selepas dilanggar van sekolah dinaikinya, di Jalan Suria, Bandar Seri Alam, di sini pukul 11.35 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintenden Mohd Sohaimi Ishak dalam satu kenyataan berkata, insiden itu berlaku selepas pemandu van wanita berumur 50 tahun menurunkan kanak-kanak perempuan dan abangnya dari van berkenaan di hadapan rumah mereka.
"Pemandu van itu meneruskan perjalanan selepas melihat abang mangsa (berjalan) melepasi belakang van dan beranggapan mangsa turut mengikuti abangnya.
"Pemandu itu telah terlanggar mangsa yang lalu di hadapan van tanpa disedari. Pemandu itu kemudian turun melihat keadaan mangsa dan memaklumkan kepada ibu mangsa dengan segera," katanya.
Akibat pelanggaran itu kanak-kanak terbabit cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Masai.
Pemandu van ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.