KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberi peringatan dan amaran kepada semua pihak dalam ekosistem pengangkutan khususnya pemilik kargo dan kuari agar tidak memaksa syarikat-syarikat pengangkutan mengambil muatan melebihi had yang ditetapkan.
- JPJ akan panggil industri terlibat seperti kuari dan besi untuk beri peringatan tentang muatan berlebihan.
- Amaran tegas: jangan langgar had muatan, tindakan lebih tegas akan diambil jika masih berlaku.
- Tekanan pemilik kargo dorong pemandu dan syarikat angkut ambil muatan melebihi had, tingkatkan risiko kemalangan.
- MOT sedang pertimbangkan pindaan undang-undang supaya pengirim dan penerima turut dipertanggungjawabkan.
- Dasar Road to Rail digesa untuk alihkan kargo berat dan berbahaya ke pengangkutan kereta api, kurangkan penggunaan jalan raya.
Tegasnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memanggil pihak-pihak industri terlibat yang sering melakukan kesalahan terbabit bagi memberikan peringatan tersebut.
“JPJ akan berjumpa dengan industri-industri ini khususnya industri kuari, besi dan beberapa industri yang kita kenalpasti yang banyak terlibat dalam muatan berlebihan ini.
“Seperti saya katakan, amaran telah kita berikan jangan langgar masalah ini, jangan langgar had muatan ini dan kita akan ambil tindakan lebih tegas selepas ini,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat.
Beliau memaklumkan tekanan daripada pemilik-pemilik industri dalam industri pengangkutan menjadi punca pemandu lori dan syarikat pengangkutan terpaksa mengambil muatan yang berlebihan sekali gus menyumbang risiko kemalangan jalan raya.
Selain itu, katanya MOT ketika ini dalam pertimbangan sama ada meminda atau merangka undang-undang bagi memastikan pengirim dan penghantar muatan turut bertanggungjawab sekiranya melanggar had muatan ditetapkan.
“Kesalahan had muatan tindakan hanya dikenakan terhadap pemandu lori dan syarikat pemilik permit kenderaan. Kementerian sedang merangka atau meminda pengirim dan penerima agar mereka turut bertanggungjawab.
“Ini juga nak kita nak melaksanakan dasar kita Road to Rail, iaitu galak kargo berat dan berbahaya ini diangkut menggunakan landasan kereta api bukan jalan raya,” jelasnya.