fb fb fb fb fb

MTL: Penduduk diingatkan sentiasa ambil langkah perlu

Foto hiasan

GUA MUSANG, 10 Disember- Penduduk di Hulu Kelantan yang terdedah banjir termasuk dalam kalangan masyarakat orang asli diingatkan supaya sentiasa mengambil langkah perlu, susulan fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda negeri-negeri Pantai Timur.

ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata persediaan awal penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak di ingini berlaku, selain mampu mengurangkan risiko kemusnahan harta benda lebih besar.
 
Beliau berkata semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang diwartakan di jajahan Gua Musang sudah bersiap sedia sepenuhnya.

"Selain dari PPS di buka, masyarakat perlu tahu ke mana perlu pergi dan tindakan yang perlu mereka buat. Jadi di sini persiapan awal perlu di buat terutama dalam kalangan pemimpin tempatan yang perlu memainkan peranan supaya bila suasana ini berlaku, mereka tidak panik dan mereka akan tahu apa yang perlu di lakukan", katanya ketika di temui RTM selepas menyempurnakan Program Taklimat Keselamatan dan Sukan Tradisi Masyarakat Orang Asli Podek di Kuala Betis, Gua Musang.
 
Mengulas lanjut, Mohd Syahbuddin berkata penduduk juga di minta supaya peka terhadap perubahan cuaca semasa serta mengawasi keberadaan anak-anak mereka.
 
Sementara itu, beliau memaklumkan isu ketidakhadiran pelajar dalam kalangan masyarakat orang asli ke sekolah akan diberikan perhatian serius.
 
Beberapa pendekatan sedang dirancang bersama Jabatan Pendidikan Negeri termasuk mempelbagai kaedah pengajaran supaya dapat mewujudkan suasana pembelajaran lebih ceria di sekolah.
           

ROSLINA BINTI DIN