fb fb fb fb fb

MTL, lebih 500 buah sekolah di Johor bersedia dijadikan PPS

Foto Fail

JOHOR BAHRU, 18 November- Lebih 500 buah sekolah di Johor telah bersiap sedia untuk dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku sehingga Mac depan.
 
Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi, Norliza Noh berkata persediaan awal dilakukan bagi memastikan perjalanan peperiksaan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) tidak terjejas.
 
Persediaan dilakukan secara lebih baik dengan mengambil iktibar pengalaman banjir buruk yang melanda negeri itu, pada Mac lalu.
 
"Insya-Allah di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz, bukan sahaja terletak di bahu beliau tetapi setiap agensi kena bersiap sedia.

Selain daripada warga pendidikan telah membuat penyelarasan bagi MTL, YAB telah menggerakkan semua agensi dan diadakan mesyuarat untuk tambah baik lagi terutama isu keselamatan dan langkah untuk kita kurangkan risiko banjir tersebut," kata Norliza kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Alunan Kalamullah Muda Johorfm di Auditorium Permata Sari, RTM Johor.
 
Juara kategori lelaki dimenangi, Muhammad Aiman Aqmar Abdul Razak manakala Nurin Izdihar Ibrahim mengungguli kategori wanita.
 
Juara membawa pulang RM3,000, piala dan hadiah iringan lain.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM