JERANTUT, 16 November- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah selesai mengedarkan barangan keperluan kepada 19 pangkalan hadapan di daerah Jerantut, Pahang sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Haris Salleh Hamzah berkata, bekalan tersebut bagi memenuhi keperluan 10,924 penduduk terjejas di 107 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terdiri 25 balai Raya, 69 sekolah dan 13 dewan di daerah Jerantut.
"Di Jerantut, kami telah membuat pengedaran ke 19 pangkalan hadapan yang juga dikenal pasti iaitu barang-barang keperluan dihantar dan juga kesiapsiagaan oleh pasukan-pasukan, agensi dan ngo sebagai sukarelawan untuk banjir," katanya.
Selain itu katanya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang bersama agensi penguatkuasaan lain turut mengadakan latihan keselamatan sebagai persediaan menghadapi banjir.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan pelepasam Larian Fun Run Jerantut anjuran Hospital Jerantut sejauh lima kilometer yang disertai 530 peserta di pekarangan Kompleks Belia dan Sukan (KBS) Jerantut.
Hadir sama, Pengarah Hospital Jerantut, Leftenan Kolonel (PA) Dr Mohd Sharafana Abdullah dan Ahli Lembaga Pelawat (ALP) hospital, Norani Muhd @ Mohd Arshad.