MTL: JAKOA peruntuk lebih RM146,000 bakul makanan di Kelantan

Gambar Fail

GUA MUSANG, 18 Januari– Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memperuntukkan lebih RM146,000 untuk bantuan bakul makanan ke kawasan pedalaman di Kelantan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) bagi tempoh 2025 hingga 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • JAKOA hantar bakul makanan kepada lima penempatan Orang Asli terjejas semasa Monsun Timur Laut.
  • 956 ketua isi rumah menerima bantuan barangan asas seperti beras, gula dan minyak masak.
  • Unit Udara JBPM bantu operasi penerbangan ihsan untuk menyampaikan bantuan ke kawasan pedalaman.

Pengarah JAKOA Kelantan dan Terengganu, Mohd Faedzyal Mohamed berkata jumlah berkenaan membabitkan penghantaran makanan ke lima penempatan Orang Asli, iaitu Pos Balar, Pos Belatim, Pos Simpor, Pos Gob dan Pos Bihai.

“Sebanyak 956 ketua isi rumah (KIR) mendapat manfaat bakul makanan asas ini seperti beras, gula, minyak masak dan lain-lain.

“Bekalan ini diberikan kerana penduduk terlibat akan terputus hubungan ketika MTL dan mereka tidak dapat keluar ke bandar untuk membeli makanan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi penghantaran bakul makanan ke kawasan pedalaman yang terjejas di Bandar Baru di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Datuk Mohd Syahbuddin Hashim berkata pihaknya berterima kasih kepada kerajaan yang menyalurkan bantuan melalui JAKOA kepada penduduk yang terjejas setiap tahun.

“Terima kasih kepada Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang melaksanakan penerbangan ihsan untuk membantu menyampaikan bantuan kepada masyarakat di pedalaman,” katanya. -BERNAMA

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan