KUANTAN, 28 November- Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang telah mengerahkan 700 anggota termasuk anggota sukarelawan di seluruh negeri itu, bersiap siaga menghadapi kemungkinan berlaku bencana banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berakhir Mac 2025.
Selain itu, APM turut mempersiapkan 57 aset darat dan 208 aset air untuk digunakan semasa operasi bencana.
Pengarah APM Pahang, Kolonel Che Adam A Rahman berkata, pihaknya juga berhubung dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) bagi mendapatkan gambaran terkini keadaan cuaca.
"Kita jangkakan untuk bulan hadapan kemungkinan berlaku fenomena air pasang besar. Jadi penduduk-penduduk di kawasan pinggir pantai dan sebagainya untuk sentiasa cakna dan bersiap siaga awal.
"Kita mohon juga supaya mereka ini menilai dan mengetahui di mana pusat-pusat pemindahan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berada di kawasan persekitaran mereka.
"... Sebab kita tidak mahu nanti, bila banjir melanda masuk ke kawasan rumah, mereka tidak tahu hendak ke mana", ketika kepada RTM selepas sesi temubual di konti radio Pahangfm di Kuantan.
Katanya, pihak APM Pahang telah mula melakukan segala persiapan sejak September lalu, termasuk melakukan latihan kesiapsiagaan di peringkat komuniti.
Latihan pengendalian bot dan kecemasan itu dilaksana melibatkan pemimpin masyarakat, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JKKK), serta komuniti di kawasan berisiko.
Langkah itu bagi memastikan masyarakat sentiasa berada dalam keadaan siap sedia untuk berpindah.