KUALA LUMPUR, 14 Julai - 72 peserta dari 50 buah negara akan menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) kali ke-65 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bermula pada 2 Ogos ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, bagi memastikan prestij dan kualiti dipertingkatkan, penganjuran kali ini akan terus menyokong aspirasi pendigitalan dan teknologi kecerdasan buatan (AI) seiring dengan arus teknologi semasa.
Manakala bagi menjamin mutu peserta bertaraf dunia, sesi saringan telah dilaksanakan pada 19 hingga 23 Mei 2025 lalu secara dalam talian yang telah dinilai oleh jemaah hakim yang berwibawa, berpengalaman luas serta pakar dalam bidang al-Quran.
" MTHQA kali ini akan dihakimi oleh 20 orang juri dari pelbagai negara termasuklah Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan, Indonesia dan lain-lain", katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Pra-Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke-65 di ibu negara.
Bertemakan “Membangun Ummah Madani – Aspirasi Bangsa, Citra Islam” , Majlis Perasmian Pembukaan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Ogos pukul 8.55 minit malam.
Berlangsung selama lapan hari, MTHQA ialah program tahunan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama kementerian dan agensi kerajaan yang lain.