MTEN bincang langkah mitigasi jamin bekalan minyak negara

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir

JOHOR BAHRU, 15 Mac – Langkah mitigasi bagi menjamin bekalan minyak negara serta kesannya terhadap sektor pengangkutan akan menjadi antara perkara utama dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Kuala Lumpur, esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mesyuarat mingguan MTEN dipengerusikan Perdana Menteri untuk memastikan bekalan gas dan minyak negara kekal stabil susulan konflik global.
  • Gangguan di laluan perkapalan utama seperti Selat Hormuz boleh menjejaskan bekalan minyak dan gas serta meningkatkan kos produk petroleum.
  • Kenaikan kos input minyak dijangka memberi kesan inflasi; MTEN akan menumpukan kepada sektor pengangkutan, termasuk penerbangan, dan langkah mitigasi.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata mesyuarat yang dipengerusikan setiap minggu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertujuan memastikan bekalan gas dan minyak negara kekal stabil susulan konflik global yang berpotensi mengganggu rantaian bekalan tenaga.

Menurut beliau, gangguan di laluan perkapalan utama seperti Selat Hormuz boleh menjejaskan bekalan minyak dan gas dunia sekali gus berpotensi meningkatkan kos produk berasaskan petroleum termasuk petrol dan diesel.

Katanya, situasi tersebut dijangka memberi kesan inflasi walaupun Malaysia berjaya mengekalkan kadar inflasi yang agak rendah sekitar 1.4 peratus sepanjang tahun 2025.

“Gangguan rantaian bekalan akibat peningkatan kos input dan output minyak boleh memberi kesan inflasi. Kita akan meneliti industri yang terkesan akibat gangguan bekalan minyak di peringkat global.

“Dalam mesyuarat esok, kita akan memberi tumpuan kepada sektor pengangkutan termasuk penerbangan bagi melihat kesan kenaikan atau isu bekalan minyak ini serta langkah mitigasi yang dilaksanakan di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri Program Jualan Rahmah Kasih Sayang di Dewan Serbaguna, Pangsapuri Desa Datuk Hajah Hasnah, di sini.

Mesyuarat berkenaan turut melibatkan tokoh industri serta kementerian berkaitan ekonomi bagi membincangkan langkah-langkah menghadapi kemungkinan gangguan bekalan tenaga global.