fb fb fb fb fb

MSPO pacu Malaysia ke arah negara risiko rendah minyak sawit

Foto BERNAMA

PULAU CAREY, 5 September- Malaysia kini berada di landasan tepat untuk diiktiraf sebagai negara berisiko rendah dalam pengeluaran minyak sawit, khususnya dari aspek kemampanan dan kelestarian alam sekitar.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata ia disokong pelaksanaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang diwajibkan sejak 2020, dalam memastikan produk dihasilkan dapat diterima pasaran global.

Ke arah itu, kerajaan sedang mengumpul fakta dan kemajuan terkini pengeluaran minyak sawit negara bagi membolehkan pengiktirafan rasmi Kesatuan Eropah (EU) mengenai perkara berkaitan.

"Kita perlu melalui proses ini dan salah satu daripadanya ialah memastikan data yang dihantar adalah tepat. Sebelum ini, sektor perladangan dikendalikan oleh kementerian berbeza, daripada kementerian yang menghantar fakta serta angka mengenai hutan negara kepada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO).

Jadi, ini ialah fakta rasmi yang tidak boleh diubah kerana ia datang dari negara sendiri dan apa sahaja yang kita serahkan mestilah berdasarkan angka yang tepat. Berdasarkan angka itu, pelbagai metodologi digunakan sebelum sesebuah negara diklasifikasikan sama ada berisiko rendah, standard atau tinggi. Apa yang penting sekarang ialah kita sedang bergerak ke arah itu," kata Datuk Seri Johari kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi Pesuruhjaya Alam Sekitar, Ketahanan Air dan Daya Saing Ekonomi kitaran, Jessika Rosswall, melawat Kampung Sungai Judah serta Pusat Kecemerlangan Sawit SD Guthrie, di sini.

Tambah Datuk Seri Johari, pensijilan MSPO turut memperkenal Sistem Pengesanan Kebangsaan bagi memantau pergerakan minyak sawit dari ladang hingga ke loji penapisan.

Langkah itu bertujuan agar produk yang dihasilkan bukan dari kawasan yang mengalami penebangan hutan.

Dalam perkembangan lain, Malaysia turut diklasifikasikan sebagai negara berisiko sederhana di bawah Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR).

EUDR mewajibkan syarikat yang menjual atau mengeksport tujuh komoditi utama termasuk minyak sawit ke EU bebas daripada aktiviti penyahhutanan dan diperoleh secara sah.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM