fb fb fb fb fb

MSDN berupaya kukuh sistem statistik negara - PM

PUTRAJAYA, 27 Januari- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) perlu diperkasa sebagai agensi pusat dengan pengukuhan organisasi serta modenisasi perkhidmatan statistik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, Ketua Pegawai Data (CDO) juga akan dilantik melalui penugasan semula tugas pegawai sedia ada di setiap Kementerian, Jabatan, Agensi Persekutuan dan Negeri mulai tahun ini secara berperingkat serta pelaksanaan rancangan tindakan Pengukuhan Sistem Statistik Negara.

"Keputusan itu dibuat melalui Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) dalam mesyuarat pertamanya di Putrajaya hari ini, menurut Perdana Menteri melalui satu kenyataan.

Tambahnya, MSDN bertindak sebagai badan penasihat tertinggi dalam memberi panduan dan hala tuju bagi mengukuhkan tadbir urus sistem statistik negara.

Data merupakan aset negara yang perlu diurus dengan baik agar dapat memberi pulangan yang besar kepada negara dalam bentuk maklumat yang boleh memberi garis pandu ke arah pencapaian matlamat dasar dan wawasan negara," tambah kenyataan itu.

Perdana Menteri juga berkata, kepelbagaian maklumat di peringkat nasional amat kritikal untuk diselaraskan.

"Krisis kesihatan dan bencana alam yang melanda negara turut menuntut kepada keperluan ketersediaan data yang lebih komprehensif, kejat (kukuh) dan bersepadu. Ia akan menerajui usaha menyelaras maklumat peringkat tertinggi negara (kerajaan dan swasta), penyaluran data terkini dan mengharmonikan proses kerja statistik," jelasnya.


MSDN dianggotai oleh menteri-menteri Kabinet berkaitan, ahli akademik, wakil sektor awam, sektor swasta dan industri serta Jabatan Perangkaan yang bertindak sebagai sekretariat.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Eksekutif untuk memacu kolaborasi antara kementerian dan agensi serta pihak swasta berpandukan hala tuju MSDN.

Empat Kluster dikenal pasti sebagai komponen penggerak di bawah Jawatankuasa Eksekutif, iaitu Kluster Ekonomi, Pertanian & Perindustrian yang dipengerusikan oleh KSU Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Kluster Pendidikan, Sosial & Kependudukan yang dipengerusikan oleh KSU Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); Kluster Kesejahteraan, Keselamatan & Kesihatan yang dipengerusikan oleh KSU Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan Kluster Infrastruktur, Teknologi & Alam Sekitar yang dipengerusikan oleh KSU Kementerian Kerja Raya (KKR).

Jawatankuasa Eksekutif itu berperanan mengenal pasti dan menentukan keutamaan bagi memenuhi keperluan pengukuhan sistem statistik negara.

Ia juga akan menyelaras keperluan teknikal, pungutan serta penyebaran statistik agar perkongsian data sedia ada (data pentadbiran) daripada kementerian, agensi awam dan swasta dapat digunakan dengan cekap ke arah penghasilan output statistik rasmi berimpak tinggi.

Selain itu, MSDN turut mengambil maklum bahawa DOSM sebagai sebuah organisasi statistik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa berpegang kepada prinsip asas statistik rasmi (FPOS) yang disediakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Ini bagi memastikan statistik rasmi adalah berwibawa dan berintegriti," katanya.

Justeru, Ismail berharap dengan penubuhan MSDN ini mampu memberikan impak positif antaranya menjamin ketersediaan data yang lebih holistik dalam merangka dasar jangka pendek dan jangka panjang negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Media Baharu