fb fb fb fb fb

MRT Laluan Putrajaya belum dapat atasi kesesakan - Loke

(FOTO FAIL)

SEPANG, 6 April - Masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya dalam mengurangkan isu kesesakan jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata ini kerana kesesakan pada waktu puncak masih kritikal terutamanya di Lebuhraya MEX, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Sungai Besi pada waktu pagi dan petang.

(Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook)

"Keadaan kesesakan waktu puncak terutama ketika Ramadan ini agak kritikal. Jadi, saya tidak hendak katakan laluan MRT itu sudah berjaya kurangkan kesesakan...belum lagi kerana masih peringkat awal,"katanya.

Loke berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Tenaga Diperbaharui Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) di Kompleks ERL Salak Tinggi, di sini.

Tambah Loke, pihaknya menyasarkan laluan Putrajaya itu digunakan 200,000 penumpang setiap hari berbanding kira-kira 80,000 pada masa ini.

Menurutnya, jumlah penumpang yang direkodkan dalam tempoh dua minggu pertama ketika beroperasi secara percuma adalah sebanyak 100,000 setiap hari.

"Memang perkara biasa sebab kalau percuma memang ramai orang akan guna namun kita melihat trend jumlah penumpang menggunakan pengangkutan awam itu sekarang terus meningkat.

"Kita akan ambil sedikit masa untuk tingkatkan jumlah penumpang, memang dalam semua perkhidmatan rel ini adalah perkara biasa yang mana masa diperlukan,” katanya.

MRT laluan Putrajaya dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mula beroperasi sepenuhnya pada 16 Mac lepas.

Media Baharu