KOTA BHARU, 20 Januari - Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) menyasarkan kadar kemajuan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencapai 37.04 peratus sehingga hujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Sri Darwis Abdul Razak berkata sehingga Disember lalu, kadar keseluruhan pembinaan projek telah mencapai 26.49 peratus.
Pihaknya optimis projek berkenaan mampu disiapkan mengikut jadual ditetapkan iaitu pada Disember 2026 dan boleh memulakan operasi Januari 2027.
"Kita akan cuba mencapai kemajuan lebih baik pada tahun 2022 ini dan kita maklum 2022 adalah tahun yang kritikal pada projek kita dan kita harapkan dengan komitmen semua pihak di peringkat negeri kelantan ini akan dapat memajukan lagi projek kita dengan lebih baik dapat kemajuan yang lebih baik lepas ini," katanya dalam sidang media sempena program ‘MESRA ECRL’ bersama komuniti Kelantan di Pusat Inovasi Kraf Batik, Tunjong, di sini.
Program tersebut bertujuan untuk mendekati komuniti di sepanjang jajaran ECRL serta meningkatkan kesediaan penduduk yang bakal menikmati manfaat pembangunan infrastruktur nasional itu.