fb fb fb fb fb

MQSS, lahirkan generasi celik al-Quran - KPM

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 4 Oktober- Program Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024, dilaksana dalam merealisasikan usaha melahirkan generasi celik al-Quran.

Program anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu menyasarkan kepada aktiviti pembangunan insaniah, modal insan kamil dan pengukuhan kemahiran al-Quran serta syiar Islam dalam dunia pendidikan.

Pengarah Bahagian Pendidikan Islam KPM, Omar Salleh berkata kemahiran yang ditonjolkan melalui MQSS adalah pembudayaan al-Quran dan nilai murni, yang bukan bersifat pertandingan atau persaingan.

Sebaliknya, sifat yang harus digarap dalam kehidupan seharian, khususnya untuk meneguhkan sifat serta akhlak pelajar.

“Ia juga medan untuk warga pendidik dan murid berkongsi ilmu, memperkasakan kemahiran membaca serta menghayati ayat-ayat suci al-Quran."

"Diharapkan lebih ramai anak-anak yang menjadi penyambung generasi al-Quran,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan KPM, hari ini.

MQSS mengangkat tema 'Adab Dan Nilai Menjana Karamah Insaniah', bertepatan saranan KPM yang secara konsisten dan istiqamah menegaskan kepentingan akhlak.

Kenyataan KPM itu turut memaklumkan kontinjen Negeri Sembilan mendominasi tiga anugerah utama MQSS KPM 2024 dengan merangkul Johan Keseluruhan Sekolah Rendah, Johan Keseluruhan Sekolah Menengah dan Johan Keseluruhan MQSS Kebangsaan 2024.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM