MPP UUM saran pendekatan PdP fleksibel

Universiti Utara Malaysia (UUM)

SINTOK, 30 Mac – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) mencadangkan agar pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) lebih fleksibel dipertimbangkan susulan fenomena gelombang haba serta peningkatan kos sara hidup akibat ketidaktentuan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gelombang haba menyebabkan tekanan haba, dehidrasi dan keletihan, menjejaskan kehadiran serta keupayaan pembelajaran mahasiswa.
  • Ketidakstabilan di laluan perdagangan utama berpotensi menjejaskan bekalan tenaga, menaikkan harga minyak serta kos pengangkutan dan barangan harian.
  • Mengadaptasi model pembelajaran hibrid dan fleksibel, selaras amalan terbaik, bagi memastikan kesinambungan PdP tanpa mengorbankan mutu akademik.
  • Kelonggaran sementara kod pemakaian dan integrasi kebajikan mahasiswa, meliputi kesihatan, keselamatan serta bantuan kos pergerakan.

Yang Dipertua MPP UUM, Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil maklum perkembangan semasa berkaitan gelombang haba yang melanda beberapa kawasan di Kedah, seperti dilaporkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

“Beberapa daerah seperti Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Sik telah merekodkan suhu maksimum antara 37 hingga 40 darjah Celsius, yang diklasifikasikan sebagai Tahap 2 (Gelombang Haba). Keadaan ini memberi implikasi langsung terhadap kesihatan dan kesejahteraan mahasiswa.

“Suhu yang tinggi berterusan boleh menyebabkan tekanan haba, dehidrasi dan keletihan melampau, khususnya dalam kalangan mahasiswa yang perlu bergerak aktif di sekitar kampus.

“Dalam konteks institusi pendidikan tinggi, situasi ini turut memberi kesan kepada kehadiran ke kuliah fizikal serta keupayaan pembelajaran optimum,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu beliau turut menekankan bahawa situasi semasa tidak hanya terhad kepada faktor cuaca, malah turut dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik global.

“Gangguan terhadap laluan perdagangan strategik seperti Selat Hormuz yang merupakan antara laluan paling kritikal dalam sistem tenaga dunia berpotensi menjejaskan kestabilan bekalan tenaga global.

“Secara empirikal, Selat Hormuz mengendalikan sekitar 20 hingga 25 peratus daripada jumlah perdagangan minyak global, bersamaan kira-kira 17 hingga 20 juta tong minyak sehari yang melalui laluan tersebut,” tambah kenyataan itu.

Kebergantungan tinggi pasaran dunia terhadap laluan tersebut menjadikannya satu ‘strategic chokepoint’ yang amat sensitif terhadap sebarang ketegangan geopolitik.

“Sebarang gangguan, sama ada penutupan sepenuhnya atau sekatan separa, akan memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan tenaga global, sekali gus mendorong kenaikan harga minyak mentah dunia dalam tempoh yang singkat,” menurut kenyataan itu.

Analisis pasaran tenaga antarabangsa menunjukkan bahawa ketidakstabilan di Selat Hormuz berpotensi menyebabkan lonjakan harga minyak secara mendadak, yang kemudiannya memberi kesan rantaian kepada ekonomi global.

“Kenaikan harga bahan api bukan sahaja memberi kesan kepada sektor tenaga, malah turut meningkatkan kos pengangkutan, harga barangan keperluan dan perkhidmatan harian.

“Mahasiswa dan warga kampus antara golongan yang turut terkesan melalui peningkatan kos perjalanan serta perbelanjaan harian,” jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, pihaknya berpandangan bahawa pendekatan lebih fleksibel, bersasar dan responsif perlu dipertimbangkan bagi memastikan kelangsungan PdP tanpa mengabaikan aspek kebajikan mahasiswa.

“Antara cadangan yang dikemukakan termasuk pengadaptasian model pembelajaran hibrid dan fleksibel, selaras dengan amalan terbaik di peringkat nasional dan global,” tambah kenyataan itu.

Selain itu, cadangan kelonggaran sementara terhadap kod pemakaian ke kuliah juga turut diusulkan bagi memastikan keselesaan mahasiswa dalam keadaan cuaca panas, tanpa menjejaskan nilai kesopanan dan etika sebagai warga universiti.

“Aspek kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa juga perlu diintegrasikan secara menyeluruh, termasuk dari sudut kesihatan, keselamatan dan kos pergerakan.

“Cadangan ini bukan bertujuan menjejaskan mutu akademik, sebaliknya sebagai pendekatan pelengkap yang mengambil kira realiti semasa,” jelas kenyataan itu.