fb fb fb fb fb

MPN syor Malaysia buka pintu sempadan 1 Mac ini

PUTRAJAYA, 8 Februari - Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan untuk membuka sempadan negara sepenuhnya bermula 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan pembukaan semula sempadan negara sebagai langkah menyokong pemulihan negara.

Menurutnya keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan cadangan oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

"Majlis bersetuju supaya sempadan negara dapat dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac 2022, tanpa keperluan kuarantin wajib.

"Namun ujian COVID-19 sebelum berlepas dan sejurus tiba di pintu sempadan negara perlu dilakukan mengikut syor Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN, hari ini.


Katanya pembukaan sempadan negara perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

"Maklumat terperinci tentang syarat-syarat tertentu, sama ada kuarantin atau tidak akan diumumkan oleh KKM dalam masa terdekat".

MPN sebelum ini mencadangkan sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya pada 1 Januari tahun ini.

Menurut Muhyiddin pembukaan sempadan boleh dibuat secara berperingkat dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) tertentu termasuk kuarantin dan ujian saringan COVID-19 sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan varian Omicron.




Media Baharu