
KANGAR, 7 Februari – Kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina yang akan disambut minggu depan kian terasa apabila 600 tanglung menghiasi empat lokasi sekitar Pusat Bandar Kangar, Pekan Kaki Bukit, Pauh dan Kuala Perlis.
- 600 tanglung dipasang di empat lokasi utama sekitar Perlis bagi memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina.
- Inisiatif ini mengukuhkan semangat kekeluargaan dan perpaduan dalam kepelbagaian budaya serta agama.
- Hiasan tanglung memberi impak positif kepada komuniti tempatan dan menarik pelancong sempena Tahun Melawat Perlis.
Inisiatif menghias lokasi tarikan dengan tanglung adalah amat bersesuaian dengan semangat kekeluargaan dan perpaduan yang kukuh di negara ini dalam menyambut sesuatu perayaan.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah memaklumkan, keempat-empat lokasi ini dipilih berikutan lokasi utama masyarakat Tionghua yang bakal menyambut Tahun Baharu Cina.
“Dalam kepelbagaian budaya dan agama, kita hendak pastikan bahawa perpaduan ini akan diteruskan demi untuk menyatupadukan rakyat Perlis dan juga sambutan Tahun Baharu Cina yang disambut saban tahun dan tahun ini adalah tahun kuda,” katanya selepas meninjau kerja-kerja pemasangan tanglung yang dilaksanakan kakitangan Majlis Perbandaran Kangar di hadapan bangunan MPKangar.
Turut hadir, Exco Perpaduan Negeri, Marzita Mansor dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar, Affendi Rajini Kanth.
Pemasangan tanglung bukan sahaja menceriakan persekitaran malah turut memberi kesan positif kepada komuniti setempat serta sektor pelancongan negeri khususnya ketika ini sedang berlangsungnya Tahun Melawat Perlis 2024-2026.