fb fb fb fb fb

MPI terima sumbangan lebih RM1 juta untuk MWM, HKM

PETALING JAYA, 23 Mei- Malaysian Press Institute (MPI) menerima sumbangan berjumlah RM1,066,500 bagi penganjuran majlis Malam Wartawan Malaysia (MWM) dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) yang akan berlangsung pada 7 Jun ini di ibu negara.

Presiden MPI Datuk Yong Soo Heong berkata, daripada jumlah itu RM616,500 merupakan sumbangan daripada 52 organisasi manakala RM450,000 disumbangkan oleh Petronas.

Seramai 488 peserta daripada 55 pertubuhan media bakal merebut HKM 2023 dalam 23 kategori dipertandingkan dan ia mencatatkan penyertaan tertinggi diterima sejak diperkenalkan pada tahun 1980 dengan unjuran kenaikan kira-kira 21 peratus.

Menerusi satu sesi dialog awam yang ditampilkan oleh MPI ia memberi ruang kepada rakan penyumbang untuk menyuarakan serta mengetahui keperluan media.

"Permintaan daripada korporat supaya media memberi kerja sama, memberi ruang kepada mereka tapi kedua-dua pihak perlu bekerjasama kerana media juga memerlukan bahan daripada syarikat korporat.

"Jadi sekiranya pihak korporat ingin menembusi ruang media, mereka juga perlu mencipta kandungan yang memberi kesan supaya dapat menarik perhatian," katanya dalam sidang media di sini.

Penyertaan tertinggi diterima daripada kategori Berita Video Terbaik dengan 65 penyertaan, diikuti Kewartawanan Foto Terbaik dengan 44 penyertaan serta Laporan Berita Terbaik, 37 penyertaan.

Enam kategori baharu diperkenalkan iaitu Kewartawanan Alam Sekitar, Sosial dan Korporat (ESG) Terbaik, Bicarawara Video Terbaik, Lintas Langsung Berita Video Terbaik, Dokumentari Radio Terbaik, Bicarawara Radio Terbaik dan Lintas Langsung Berita Radio Terbaik.

Majlis berkenaan juga bertujuan bagi menyuntik semangat kepada para wartawan tempatan untuk terus berkarya selain mengiktiraf karya-karya kewartawanan.

aidan