MPHTJ, polis & JAIM siasat isu hotel tular di Ayer Keroh

Ketika pemeriksaan dijalankan, hotel berkenaan didapati kosong dan tiada pihak untuk dihubungi

 

RINGKASAN BERITA AI
  • MPHTJ, polis dan JAIM mengadakan pertemuan dengan pemilik hotel bagi menyiasat dakwaan berhubung operasi hotel tular.
  • Hasil siasatan awal mendapati tiada aktiviti tidak bermoral; hotel didapati kosong semasa pemeriksaan.
  • Lesen perniagaan diambil untuk siasatan lanjut bagi memastikan pematuhan syarat lesen dan peraturan.

AYER KEROH, 15 Januari – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) hari ini mengadakan sesi pertemuan dengan pemilik sebuah hotel yang tular baru-baru ini.

Pertemuan yang berlangsung di Pejabat MPHTJ pada pukul 10 pagi itu bertujuan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan melibatkan operasi hotel berkenaan.

Timbalan Exco Kerajaan Tempatan Negeri Melaka, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan menegaskan kepentingan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini untuk sentiasa memantau permohonan serta kelulusan lesen perniagaan.

Menurut beliau, pemantauan berterusan perlu dilakukan walaupun lesen perniagaan telah dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang aktiviti yang menyimpang daripada tujuan asal operasi.

“Bukan hari ini sahaja, malah sejak dahulu lagi PBT perlu sentiasa peka. Walaupun lesen telah dikeluarkan, mereka perlu memastikan tiada aktiviti lain yang disembunyikan di sebalik perniagaan tersebut sehingga menimbulkan persepsi negatif dan akhirnya tular di media sosial. Dalam situasi seperti ini, PBT juga boleh menjadi mangsa kepada isu berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan MPHTJ di Melaka Mall, Ayer Keroh.

Sementara itu, Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron memaklumkan hasil siasatan awal mendapati tiada aktiviti tidak bermoral berlaku di hotel berkenaan.

Menurut beliau, tindakan pengambilan lesen perniagaan hotel itu sebelum ini dibuat bagi tujuan siasatan lanjut.

“Berdasarkan siasatan awal, memang tidak berlaku aktiviti seperti yang didakwa. Ketika pemeriksaan dijalankan, hotel tersebut didapati kosong dan tiada pihak untuk dihubungi. Oleh itu, lesen diambil dan dibawa ke pejabat bagi membolehkan pihak pengurusan tampil memberikan penjelasan,” katanya.

Siasatan lanjut akan diteruskan bagi memastikan operasi hotel berkenaan mematuhi sepenuhnya syarat lesen dan peraturan ditetapkan.