fb fb fb fb fb

MP Stampin mahu pelajar Sarawak kuasai teknik jawab soalan SPM dengan tepat

FOTO FAIL BERNAMA

KUCHING, 18 Disember - Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini masih belum terlambat untuk menerokai teknik menjawab soalan peperiksaan dengan tepat bagi meraih keputusan dengan cemerlang.

Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen berkata, sekiranya pelajar tersebut dapat mengetahui teknik yang betul ia akan membantu pelajar memahami subjek dengan mudah.

"Setiap mata pelajaran mempunyai kaedah dan teknik menjawab yang berbeza mengikut kehendak peperiksaan.

"Pusat Khidmat Bandar Kuching dan Pusat Khidmat Stampin akan menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak RM200 kepada pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang sekurang-kurangnya 5A dalam SPM," katanya pada Majlis Penutupan Bengkel Persediaan SPM anjuran bersama Pusat Khidmat Bandar Kuching, Pusat Khidmat Stampin dan UCSI University Kampus Sarawak di sini semalam.

Beliau berharap para pelajar yang menyertai program tersebut dapat mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan sebenar yang akan bermula 30 Januari hingga 7 Mac tahun depan.

Bengkel Persediaan SPM selama dua hari itu berjaya mengumpulkan kira-kira 800 calon SPM dari 42 buah sekolah.

GRACE AISYAH KEDAYAN