fb fb fb fb fb

Motosikal lajak tanpa brek, ibu bapa dinasihat pantau pergerakan anak - Alaudeen

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Alaudeen Abdul Majid

KUALA LUMPUR, 20 Disember - Ibu bapa dinasihat sentiasa memantau pergerakan anak masing-masing demi keselamatan dan tidak bergantung harap kepada Polis semata-mata.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Alaudeen Abdul Majid berkata keutamaan pemantauan termasuk remaja yang menunggang motosikal tanpa brek.

Katanya, perbuatan itu dikesan dalam Ops Motosikal / Samseng Jalanan oleh Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, hujung minggu lalu.

"Saya berharap ibu bapa, penjaga mainlah peranan, ini bukan tanggungjawab polis semata-mata kerana motosikal ini datang daripada rumah, pastikan mereka ada lesen, pastikan motosikal itu dalam keadaan yang sempurna supaya dia dapat balik dengan selamat. Kalau tidak, dengan tidak adanya brek belakang, peluang untuk terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan kematian adalah amat tinggi sekali," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpuan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini.

Sementara itu, Alaudeen berkata Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes seorang pelajar yang melarikan diri dari asrama sebuah sekolah di Cheras kerana didakwa dibuli pelajar lain.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 selepas ibu kepada remaja itu membuat laporan polis pada Selasa.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN