fb fb fb fb fb

Motosikal 150 cc dan ke atas diwajibkan mempunyai ABS

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA, 2 September- Semua motosikal enjin berkapasiti 150cc dan ke atas diwajibkan mempunyai sistem brek antikunci atau anti-lock braking system (ABS) bermula Januari 2025.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata inisiatif tersebut bagi mengurangkan kadar kemalangan motosikal terutama semasa menggunakan brek dalam situasi kecemasan.

"Kenapa?...kerana menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ABS boleh mengurangkan kematian dalam kalangan penunggang motosikal sebanyak 31 peratus semasa kemalangan.

"Saya yakin dengan inisiatif ini akan mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia dan menginspirasi negara luar ke arah keselamatan penunggang motosikal dan pengguna jalan raya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS) di sini yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Pada masa sama Ahmad Zahid turut memaklumkan Institut penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah melaksanakan Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP) bagi menilai model motosikal ke arah memastikan keselamatan pengunaan motosikal terjamin.

Sementara itu, bagi memastikan tahap keselamatan murid, kadar had kelajuan di zon sekolah telah diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) dan berkurang kepada 30km/j berbanding sebelum ini iaitu 40km/j.

Ahmad Zahid berkata, perkara itu wajar dengan mengambil kira keselamatan semua murid dan pelajar.

"Walaupun kita tahu ada sekolah-sekolah mempunyai warden trafik tetapi ada juga sekolah yang tidak mempunyai pengawas laluan jalan raya. Jadi percubaan ini akan dilakukan untuk beberapa ketika dan jika didapati effektif maka ianya akan dilanjutkan ke kawasan-kawasan lain.

"...ianya tergantung kepada keputusan yang akan dibuat oleh Kementerian Pengangkutan dan ini tentunya sesuatu harus diterjemahkan penggunaannya bagi menentukan keselamatan," katanya lagi.

Dalam pada itu beliau turut menerima maklumna berkaitan rekod kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal setiap tahun mencecah lebih 6,000.

Justeru, langkah kesedaran perlu dilaksanakan dengan penglibatan semua pihak bagi megurangkan kadar kematian akibat kemalangan motosikal.

"Jadi kita telah mendengar apa yang dikatakan oleh Menteri Pengangkutan bahawa kematian disebabkan oleh kemalangan jalan raya itu lebih daripada kematian yang disebabkan oleh COVD-19.

"...dan kesedaran ini mesti dilakukan sekarang serta melibatkan semua pihak. Jangan letakkan tanggungjawab ini hanya kepada Kementerian Pengangkutan dan agensi-agensi tertentu sahaja," kata Ahmad Zahid.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI