PUTRAJAYA, 13 Jun- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) memulakan siasatan terhadap entiti perniagaaan yang terlibat dalam kemalangan yang membabitkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu.
MOTAC dalam satu kenyataan memaklumkan, kementerian itu menjalankan siasatan bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) selain turut mengeluarkan notis pemeriksaan dan surat tunjuk sebab kepada entiti terbabit.
"MOTAC ingin menegaskan komitmennya dalam memastikan aktiviti pelancongan di Malaysia sentiasa dilaksanakan dengan selamat, beretika dan bermanfaat untuk generasi masa depan.
"MOTAC merakamkan takziah kepada semua keluarga mangsa dan mendoakan agar semua pelajar yang tercedera diberikan kesembuhan segera," menurut kenyataan itu.
Kementerian itu juga berkerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan siasatan menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang.