fb fb fb fb fb

MOTAC gantung lesen syarikat umrah Travel & Tours Sdn Bhd

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 11 Jun - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menggantung lesen syarikat pengendali umrah Pasadana Travel and Tours Sdn Bhd berkuatkuasa 20 April lalu sehingga 31 Disember ini.

MOTAC dalam satu kenyataan berkata, penggantungan lesen syarikat itu dibuat di bawah subseksyen 8(1)(b) dan subseksyen 8(1)(d) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

"Sepanjang tempoh berkenaan, syarikat ini tidak boleh mengurusniaga sebarang perniagaan baharu seperti mengiklankan pakej umrah serta mengambil jemaah baharu untuk mengerjakan umrah.

"Syarikat tersebut dikehendaki memulangkan semula bayaran dan apa-apa dokumen milik jemaah umrah yang memilih untuk membatalkan tempahan syarikat," katanya.

Menurut MOTAC, sekiranya syarikat tersebut didapat melanggar syarat, tindakan pembatalan lesen boleh diambil dan tiada pembaharuan lesen akan dibenarkan setelah habis tempoh lesen.

"Subseksyen 8(1)(b) merujuk kepada pengusaha pelancongan berlesen melanggar mana-mana syarat yang dikenakan di bawah lesen, mana-mana peruntukan akta itu atau mana-mana undang-undang bertulis lain, tidak kira bahawa tiada pendakwaan telah dibawa bagi sesuatu kesalahan berkenaan dengan pelanggaran sedemikian.

"Manakala, subseksyen 8(1)(d) pula berkaitan dengan menjalankan perniagaan mengikut cara memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara," katanya

GRACE AISYAH KEDAYAN