fb fb fb fb fb

MOT terbuka jalin kerjasama dengan pengendali insurans dalam talian - Anthony

Foto BERNAMA

PUCHONG, 8 Mei- Orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat pembaharuan insurans secara dalam talian, perlu memastikan platform berkenaan berdaftar dengan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan ia bagi mengelak kekeliruan pengguna mengenai perkhidmatan kerajaan.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kerjasama strategik dengan mana-mana pihak yang ingin menawarkan perkhidmatan berkenaan.

Anthony mengulas kenyataan JPJ mengenai platform pembaharuan insurans secara dalam talian, BJAK Sdn Bhd yang tidak mendapat kelulusan JPJ dalam menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM).

"Mereka perlu datang kepada kita, bentang kepada JPJ dan kementerian bagaimana untuk mencapai kata sepakat, menang-menang. Kementerian juga tidak menolak kerjasama strategik dengan mana-mana pihak ketiga atau swasta tetapi perlu dilakukan dengan cara yang betul dan mendapat kebenaran."

"Jadi, kita tidak mahu sesetengah syarikat memperkenalkan atau mengumumkan sebarang perkhidmatan kerajaan tanpa dimaklumkan," kata Anthony kepada pemberita dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah dan Menandatangani Perjanjian Pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Castlefield antara Prasarana Malaysia Berhad, Lembaga Pengurus Sekolah (LPS) dan syarikat pemaju Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA).

Dalam majlis itu, Prasarana telah dipertanggungjawabkan untuk membina semula sekolah ganti berikutan pengambilan tanah untuk Projek LRT Laluan Ampang.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM