
KUALA LUMPUR, 13 April – Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti penggunaan teknologi baharu yang lebih praktikal bagi meningkatkan keselamatan penumpang di platform stesen Transit Aliran Ringan (LRT), susulan beberapa insiden penumpang terjatuh ke landasan sejak kebelakangan ini.
- Penumpuan kepada pelaksanaan sistem amaran awal seperti siren dan sensor inframerah untuk langkah keselamatan yang boleh dilaksanakan lebih cepat.
- Prasarana tidak mencadangkan pemasangan pintu penghadang platform sedia ada kerana kos tinggi dan keperluan pengubahsuaian menyeluruh.
- Mangsa insiden terjatuh ke landasan telah pulih dan kementerian komited melaksanakan penyelesaian segera demi keselamatan pengguna.
Menterinya, Anthony Loke, berkata tumpuan ketika ini adalah terhadap pelaksanaan sistem amaran awal seperti siren, sensor inframerah dan teknologi keselamatan lain yang boleh dilaksanakan lebih cepat berbanding pemasangan pintu penghadang platform.
Menurut beliau, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) ketika ini tidak mempunyai cadangan untuk memasang pintu penghadang di platform stesen LRT sedia ada kerana pelaksanaannya melibatkan kos tinggi serta keperluan pengubahsuaian menyeluruh.
“Prasarana memang tiada cadangan untuk memasang pintu penghadang di platform sedia ada kerana ia bukan projek yang mudah. Kosnya tinggi dan semua stesen perlu diubah suai.
“LRT dibina dengan reka bentuk lama yang tidak mempunyai pintu penghadang, berbeza dengan sistem MRT yang sememangnya dilengkapi kemudahan itu sejak awal,” katanya kepada media selepas merasmikan program Spot It: Kempen Kesedaran Titik Buta dan Keselamatan Jalan Raya di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), di sini, hari ini.
Mengulas insiden seorang wanita terjatuh ke landasan LRT baru-baru ini, Anthony berkata mangsa telah pulih dan dibenarkan keluar hospital.
Katanya, kementerian komited untuk memastikan penyelesaian terbaik dapat dilaksanakan segera supaya insiden seumpama itu tidak berulang, sekali gus menjamin keselamatan pengguna pengangkutan awam.