fb fb fb fb fb

MOT sambut baik cadangan tambahan pembaharuan lesen memandu warga emas

Anthony Loke Siew Fook

SEPANG, 25 November- Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menyambut baik cadangan syarat tambahan diperkenalkan bagi pembaharuan lesen memandu warga emas.

Beliau berkata laporan perkara itu perlu diteliti sebelum sebarang keputusan dilaksanakan.

"Kita kena kaji dulu laporan tersebut. Kita tidak terburu-buru untuk meletakkan apa-apa syarat tambahan. Sudah tentu ada implikasinya dan kita kena lihat segala aspek sebelum syarat tambahan dilaksanakan.

"Kita menerima baik cadangan laporan tersebut tetapi ia perlu diteliti dengan lebih lanjut sebelum sebarang keputusan dibuat oleh pihak kementerian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) di sini.

Dalam pada itu pihak kementerian juga sentiasa berhati-hati agar sebarang pelaksanaan syarat tambahan ke atas pengguna tidak memberi implikasi negatif kepada kedua-dua pihak.

Sebelum ini terdapat cadangan agar golongan warga emas menjalani penilaian kompetensi dan kesihatan, sebelum memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM).

Perkara itu susulan peningkatan kes kemalangan jalan raya membabitkan golongan berkenaan di negara ini.

Dalam perkembanglan lain kerajaan menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memperkenalkan insentif bagi menggalakkan pelaburan berskala besar.

Anthony berkata insentif itu mampu menarik lebih banyak pelaburan dalam bidang logistik sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab logistik serantau.

"Pelepasan cukai sehingga 70 peratus kepada pelabur-pelabur yang melabur dalam pusat logistik pintar telah diumumkan semasa pembentangan bajet.

"Pihak MOT menyambut baik insentif ini dan kita fikir ia merupakan satu pemangkin kepada pelaburan dalam bidang pusat logistik pintar," katanya.

Beliau turut memaklumkan satu tapak di Nilai, Negeri Sembilan dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai Pusat Logistik Negara.

Ia disokong kedudukan Nilai yang strategik dan berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabngsa Kuala Lumpur (KLIA) serta lebuh raya utama negara memberi nilai tambah untuk dijadikan sebagai lokasi pembangunan berkenaan.

 

 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI