KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Kementerian Pengangkutan (MOT) menyambut baik beberapa inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2026.
- Insentif pemasangan SLD untuk pengusaha kenderaan berat bagi meningkatkan keselamatan dan pengawalan kelajuan.
- Geran padanan sehingga RM4,000 untuk pemilik kereta >20 tahun menukar kepada kenderaan baharu.
- Insentif bebas cukai bagi pemilik teksi membeli kenderaan baharu untuk transformasi industri teksi.
- Penerusan inisiatif sedia ada termasuk pas My50, bantuan 'fly siswa' Sarawak, dan had tambang maksimum musim perayaan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, antaranya melibatkan pemberian insentif kepada pengusaha kenderaan berat untuk memasang alat pengehad kelajuan atau SLD (speed limitation device).
Selain, memperkenal geran padanan sehingga RM4,000 kepada pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun yang ingin menukar kepada kenderaan baharu.
“Selain itu juga diberikan insentif bebas cukai kepada pemilik-pemilik teksi untuk membeli kenderaan-kenderaan baharu. Ini merupakan satu juga usaha transformasi industri teksi negara.
“Selain daripada itu, semua inisiatif sedia ada yang dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan akan diteruskan seperti pas My50 untuk pengangkutan awam di Lembah Klang dan juga bantuan ‘fly siswa’ kepada mahasiswa Sarawak yang belajar di Semenanjung, termasuk juga kita mengehadkan ataupun kita meletakkan kadar tambang maksima semasa musim perayaan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2026 di lobi Parlimen.