fb fb fb fb fb

MOT perkenal perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) di Lembah Klang

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

KUALA LUMPUR, 17 Disember - Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memperkenalkan inisiatif perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) di Lembah Klang sebagai pengangkutan alternatif, kata Menterinya Anthony Loke.

Insiatif itu adalah dalam usaha memperkasakan kesalinghubungan pengangkutan awam.

Katanya, perincian mengenai pelaksanaan insiatif itu yang menyasarkan perkhidmatan di kawasan batuan pertama dan terakhir yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan bas awam akan diumumkan kelak.

Beliau berkata sebahagian peruntukan RM50 juta bagi memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam bawah Belanjawan 2024 akan digunakan untuk membeli van dan pengoperasiannya akan diselia Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

"Satu projek permulaan telah diadakan di Jalan Ampang, dan Jalan Ampang kita nampak ada keberkesanannya, 'ridership' telah bertambah untuk laluan tersebut dan masa untuk bas memang berkurangan untuk sampai ke kawasan Kuala Lumpur khususnya KLCC," kata Loke dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Ibu Pejabat DAP, di sini.

Menurut Loke, pengurangan masa perjalanan dan kemudahan lengkap mampu menarik lebih ramai pengguna sekali gus mengurangkan masalah kesesakan jalan raya di sekitar Ibu Kota.

Perkhidmatan van transit atas permintaan diperluaskan ke lebih banyak kawasan susulan dasar kerajaan memperkasa pengangkutan awam.

TETITIA YUSOFF