MOT percepat pembukaan LRT3 kurangkan kesesakan Lembah Klang

Menteri Pengangkutan Anthony Loke bercakap semasa sidang media di Stesen Sentral Kuala Lumpur/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Februari – Kementerian Pengangkutan (MOT) mempergiat usaha mempercepat pembukaan laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Shah Alam dan kawasan sekitar sebagai langkah mitigasi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan percepat pembukaan laluan LRT3 untuk tambah pilihan pengangkutan awam dan kurangkan kesesakan Lembah Klang.
  • Laluan LRT3 perlu lalui beberapa ujian ditetapkan sebelum dibuka kepada orang ramai.
  • Kementerian komited terus usaha dalam beberapa bulan akan datang meskipun cabaran peningkatan kenderaan persendirian.

Menterinya, Anthony Loke berkata inisiatif itu penting bagi menambah pilihan pengangkutan awam kepada pengguna, namun usaha mengurangkan kesesakan berdepan cabaran susulan peningkatan jumlah kenderaan persendirian.

“Kementerian akan terus berusaha dalam beberapa bulan akan datang untuk mempercepat pembukaan laluan LRT3 sebagai langkah mitigasi memberi lebih opsyen kepada penumpang. Laluan itu perlu melalui beberapa ujian yang ditetapkan sebelum boleh dibuka kepada orang ramai.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Edaran Pek Cenderahati kepada penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di KL Sentral hari ini.

Majlis yang turut dihadiri Pengerusi KTMB, Datuk Ahmad Redza Abdullah itu menyaksikan lebih 250 pek cenderahati diagihkan kepada penumpang perkhidmatan tren elektrik (ETS).

Mengulas kesesakan lalu lintas, Anthony berkata situasi di Lembah Klang menjelang musim perayaan merupakan trend tahunan susulan peningkatan aktiviti sosial dan pembelian persiapan perayaan.

Beliau berkata Malaysia mencatat jualan 820,000 kenderaan tahun lalu, sekali gus menjadikan negara antara pasaran kenderaan terbesar di Asia Tenggara.