fb fb fb fb fb

MOT komited pastikan kecekapan perkhidmatan rel negara

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 4 Julai- Tindakan berterusan akan diambil bagi memastikan kecekapan perkhidmatan rel negara termasuk Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT).

Tegas Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke, pihaknya sebelum ini sudah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

"Itu adalah kelemahan yang sedang kita tangani daripada segi kekerapan, jumlah penumpang, semua isu sudah saya nyatakan dari semasa ke semasa, bukan hanya kerana Laporan Ketua Audit Negara (LKAN)," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Kebangsaan (NSPC) di sini.

Beliau mengulas demikian mengenai teguran LKAN Siri 2/2024 mengenai prestasi bilangan penumpang harian dan bilangan tren beroperasi serta kekerapan perkhidmatan tren waktu puncak masih tidak mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Skim Kereta Api MRT 1 dan 2.

Ujarnya, bilangan penumpang MRT tahun ini merekodkan lebih 800,000 penumpang.

Peningkatan jumlah penumpang membuktikan perkhidmatan MRT dan LRT adalah lebih dipercayai.

Dalam pada itu, Loke berkata MOT sedang memperhalusi beberapa peraturan berkaitan cadangan pengeluaran kad akreditasi untuk pemandu bas.

Jelas Loke, pihaknya bersetuju berhubung kad terbabit, namun beberapa perkara masih perlu diperinci.

"Perkara ini dibangkitkan kepada kami beberapa bulan lalu dan kami sebenarnya telah meluluskan pengeluaran kad pemandu, tetapi tertakluk beberapa peraturan yang diperhalusi," kata Loke.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali menjelaskan pengeluaran kad akreditasi dapat membantu mengekang amalan buruk membabitkan pemandu bas yang tidak bertanggungjawab.

Kad itu juga dapat memastikan pemandu bas bertanggungjawab terhadap kesalahan dilakukannya, jika terdapat aduan dikemuka ke atas pemandu berkenaan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM