BANGI, 21 Januari – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menerajui pembangunan ekonomi angkasa ASEAN sebagai projek moonshot, yang merupakan antara hala tuju utama kementerian itu tahun ini.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata projek mega itu akan merentasi pelbagai sektor, agensi, dan pengurusan dalaman MOSTI, dengan matlamat memacu perkembangan sektor utama seperti pertanian, komunikasi, pengangkutan, dan pendidikan.
“Program moonshot ialah inisiatif yang merangkumi pelbagai sektor dan memberikan impak besar kepada ekosistem negara. Ekonomi angkasa akan membantu mengembangkan teknologi angkasa, yang seterusnya memberi manfaat kepada sektor pertanian, elektronik dan elektrik (E&E), semikonduktor, serta pembangunan dan penyelidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu MOSTI 2025, di sini.
Menurut Lih Kang, ekonomi angkasa serantau itu juga dijangka membangunkan industri hiliran seperti unsur nadir bumi (REE), yang berpotensi menghasilkan produk bernilai tinggi seperti supermagnet.
“Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk menerajui ekonomi angkasa ASEAN secara holistik menerusi dasar yang kukuh, lokasi strategik, kepakaran teknologi, dan kerjasama antarabangsa,” tambahnya.