PUTRAJAYA, 17 Mei – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk menubuhkan pasukan khas bagi memupuk minat sains dan teknologi dalam kalangan pelajar.
Ini seperti yang disaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata inisiatif itu dilihat berupaya menyemai minat pelajar terhadap bidang sains dan teknologi terutama dalam kalangan pelajar luar bandar.

“Saya rasa ini adalah isu mendesak, di MOSTI kita lebih daripada gembira berada dalam pasukan khas. MOSTI akan memberikan kerjasama sebaik mungkin untuk menjayakan inisiatif ini.
“Kita ada usaha untuk mempromosi dan mengarus perdanakan sains, teknologi dan inovasi. Salah satu inisiatif, kami bekerjasama dengan Kementerian Ekonomi untuk menganjurkan Innovathon,” katanya pada sidang media bersama pemain industri dan warga MOSTI, di sini.
Mengenai kerjasama MOSTI dan Kementerian Ekonomi bagi mewujudkan program realiti televisyen Innovathon, Chang berkata setakat ini lebih 1,000 permohonan telah diterima.
“Kita sudah mula proses uji bakat dan bulan depan kita akan mulakan episod dan setakat ini maklum balas sangat memberangsangkan.
“Saya dimaklumkan inovator paling muda ialah berumur 8 tahun dan ini sesuatu yang sangat positif,” katanya.
Program yang bersiaran selama 10 episod itu akan ditayangkan bermula Jun depan.